Sunday, 19/11/2017

Bayangan final Lee Chong Wei-Lin Dan

Published on August 12, 2011 by   ·   No Comments

DUA jagoan dunia – Lee Chong Wei dan Lin Dan – seperti memberi bayangan awal betapa pertembungan mereka dalam final perseorangan lelaki, Ahad ini kini dalam proses pembikinan.

Semalam, kedua-dua pemain elit dari Malaysia dan China itu gah layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Arena Wembley dengan situasi yang berbeza.

Dalam pusingan ketiga, Chong Wei menang mudah 21-10, 21-5 ke atas lawan dari Korea Selatan, Park Sung-hwan manakala Lin Dan dipaksa mengerah keringat sebelum menewaskan seorang lagi pemain Korea, Lee Hyun-il 21-16, 21-13.

Dalam suku akhir, hari ini, Chong Wei akan menentang pemenang antara Kevin Cordon dari Guatemala atau Pablo Abian dari Sepanyol manakala Lin Dan berdepan Sasaki Sho dari Jepun atau pemain China, Du Pengyu.

Lee Chong Wei mara ke suku akhir

“SAYA tak sangka mudah,” kata Lee Chong Wei (kiri) selepas mudah menewaskan Park Sung-hwan dan layak ke suku akhir Kejohanan Badminton Dunia di Arena Wembley, semalam.

Pemain nombor satu dunia itu hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam untuk melakar kemenangan 21-10, 21-5 untuk bertemu sama Kevin Cordon dari Guatemala atau Pablo Abian dari Sepanyol, hari ini untuk memburu tiket ke separuh akhir.

“Berbanding dua perlawanan sebelum ini, kemenangan malam ini adalah paling mudah buat saya. Memang saya tak sangka akan menang cara sebegini. Saya tidak tahu mengapa, tapi saya lihat Park tidak bermain seperti biasa,” kata Chong Wei selepas tamat pusingan ketiga.

Sementara itu, Lin Dan yang juga menjadi pemain yang dijangka ditemui Chong Wei di final turut mara ke suku akhir selepas menang 21-16, 21-13 ke atas seorang lagi pemain Korea, Lee Hyun-il.

Jurulatih perseorangan, Tay Seu Bock pula beranggapan Sung-hwan tidak dapat bermain baik kerana Chong Wei bertindak cemerlang bagi mematikan setiap pergerakannya.

“Sung-hwan pemain stroke, jadi dia berdepan masalah dengan permainan pantas Chong Wei. Apabila dia cuba bermain pantas, Chong Wei pula lebih laju daripadanya,” katanya.

Mengenai lawan bakal ditemui di suku akhir, Chong Wei berkata: “Saya tak kisah siapa lawan nanti. Apa lebih penting adalah jangan pandang rendah keupayaan lawan. Masakan mereka dapat mara jauh ke peringkat ini.”

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini