Sunday, 21/01/2018

Nadzmi dakwa pecat Ganga untuk selamatkan BAM

Published on April 23, 2010 by   ·   No Comments

PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Nadzmi Mohd Salleh menegaskan keputusan untuk memecat orang kepercayaannya Ganga Rao sebagai setiausaha kehormat adalah bagi menyelamatkan persatuan kebangsaan itu.

Nadzmi, yang pulang ke tanah air, semalam selepas hampir sebulan menjalani rawatan fisioterapi di Jerman, tampil buat pertama kali untuk menjawab persoalan berkaitan keputusan mengejutkan untuk memecat Ganga pada 12 April lalu.

“Ia (pemecatan Ganga) tidak dapat dielakkan,” kata Nadzmi kepada wartawan di Balai Ketibaan, KLIA, Sepang.

“Ia sesuatu yang tidak mahu saya lakukan tetapi saya terpaksa sebagai Presiden BAM serta melihat kepada kepentingan persatuan melebihi kepentingan individu.

“Saya rasa keputusan yang saya lakukan adalah tepat dan sama ada ia masa yang sesuai untuk berbuat demikian, boleh diperdebatkan tetapi saya terpaksa bertindak cepat untuk mengelak keadaan menjadi lebih buruk dan menyelamatkan persatuan.

“Selaku presiden, saya lebih tahu apa yang berlaku berbanding orang lain dan seandainya saya tidak mengambil langkah itu, dan jika orang mengetahui apa yang sedang berlaku, saya pula akan dipersalahkan. Ia bukan keputusan saya untuk perkara seperti ini berlaku.

“Tetapi saya perlu bertanggungjawab dan saya tidak akan memecat sesiapa tanpa sebab,” kata Nadzmi.
Bagaimanapun, Presiden BAM itu enggan mendedahkan sebab utama dia memecat Ganga, walaupun awal bulan lalu dia menafikan mengambil tindakan penggantungan ke atas setiausaha kehormat itu.

“Saya tidak berhasrat untuk membincangkannya (sebab pemecatan Ganga) secara terbuka. Saya rasa anda perlu faham bahawa pelantikan setiausaha, bendahari dan sebagainya adalah hak presiden.

“Ketika saya melantiknya daripada jawatan eksekutif kepada pengurus besar dan setiausaha kehormat, saya tidak memberi alasan kenapa.

“Justeru, saya berpendapat buat masa ini saya tidak perlu mendedahkan kenapa saya membuat keputusan menamatkan khidmatnya sebelum Piala Thomas,” kata Nadzmi.

Mengenai pengganti Ganga, Nadzmi berkata, buat masa ini dia belum membuat sebarang keputusan dengan jawatan setiausaha persatuan ketika ini diuruskan pengurus besar, Kenny Goh.

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini