Sunday, 21/01/2018

Malaysia dikejutkan Jepun 2-3

Published on May 12, 2010 by   ·   No Comments

MALAYSIA tersentak daripada impian merangkul kejuaraan Piala Thomas apabila Jepun mendedahkan segala kepincangan dan kelemahan skuad negara untuk mencatat kemenangan mengejut dan bersejarah 3-2 bagi skuad negara Matahari Terbit itu menjuarai Kumpulan B, malam tadi.

Walaupun kekalahan itu tidak menghalang skuad negara daripada kemaraan ke suku akhir tetapi ia menyulitkan laluan mereka apabila kini kehilangan status pasukan pilihan dan bakal berdepan Denmark dalam saingan untuk layak ke separuh akhir.

Sekalipun diberi sokongan padu peminat tempatan yang membanjiri Stadium Putra, Bukit Jalil, tetapi anak buah Rashid Sidek menyajikan persembahan kurang bertenaga, terutama daripada Wong Choong Hann, Mohd Fairuzizuan Tazari-Mohd Zakry Abdul Latif dan Mohd Hafiz Hashim.

“Kita sudah berusaha bersungguh-sungguh tetapi malam ini tidak menjadi buat pasukan kita,” kata kapten pasukan dan perseorangan pertama, Lee Chong Wei yang menyumbangkan mata pertama negara dengan mengalahkan Kenichi Togo 21-12, 21-13.

“Saya berharap peminat tidak akan hilang kepercayaan kepada pasukan ini kerana kita memang mahukan kemenangan dan tidak siapa yang mahu melihat kita kalah.”

Selepas Chong Wei memberi mata pertama, giliran beregu pertama Koo Kien Keat-Tan Boon Heong memberikan mata kedua dengan menewaskan Niroyasu Hirata-Hirokatsu Hashimoto 21-13, 21-13.

Tetapi mata kemenangan dicari tidak menjadi apabila perseorangan veteran, Choong Hann tunduk kepada Sho Sasaki 17-21, 18-21 bagi Jepun merapatkan jurang.

“Saya tidak dapat mengeluarkan permainan saya,” kata Choong Hann. “Saya banyak melakukan kesilapan dan Sasaki mengawal gelanggang dengan baik. Saya harap dapat bangkit daripada kekalahan ini.”

Harapan kepada Fairuzizuan-Zakry untuk memberi mata kemenangan juga tidak kesampaian apabila pasangan itu menyajikan persembahan buruk yang menimbulkan keraguan mengenai kenapa mereka terpilih menganggotai skuad Piala Thomas.
Mereka tewas 15-21, 12-21 dalam 27 minit kepada Kenichi Hayakawa-Kenta Kazuno untuk kedudukan terikat 2-2.

Dengan keadaan semakin tegang, Hafiz jelas gagal menjelmakan watak penyelamat pasukan apabila kecundang kepada Shoji Sato 10-21, 21-14, 18-21.

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini