Sunday, 21/01/2018

Barcelona sedia perangi Inter Milan

Published on April 28, 2010 by   ·   No Comments

PENYERANG Barcelona, Zlatan Ibrahimovic yakin jika pasukannya tetap dengan gaya permainan mereka, Barca tidak perlu bimbang terhadap ancaman fizikal Inter Milan dan mampu mengubah keputusan pada separuh akhir kedua Liga Juara-Juara esok.

Jurulatih Pep Guardiola telah membina pasukan ‘penakluk’ yang menyapu bersih semua kejuaraan musim lalu dan kini berdepan ujian paling sukar di peringkat Eropah menentang Inter, setelah kalah 1-3 pada separuh akhir pertama.

Pertembungan di San Siro bakal menemukan dua gaya permainan berbeza.

Corak permainan terbuka Guardiola pastinya memberi banyak ruang apabila berdepan corak permainan mengawal Jose Mourinho, di mana ini membantu jurulatih itu membawa pasukannya ke puncak.

Asakan keras Inter ke atas lawan, menyebabkan beberapa pemain Barça mendakwa pengadil terlalu berlembut.

Wujud keyakinan tinggi di Catalonia, bahawa Barcelona boleh mengamalkan corak permainan hantaran tepat ke atas Inter di Nou Camp, seterusnya menyingkirkan juara Itali itu.

“Kami perlu memberi tekanan, namun apa yang lebih penting kami harus beraksi dengan cara kami sendiri.

‘‘Ia bakal menjadi perlawanan agresif namun kami harus fokus terhadap cara permainan kami.

“Kami harus bersedia untuk menghadapi peperangan ini. Kami tidak boleh mengubah cara permainan kami seperti yang kami lakukan di Milan.

‘‘Kami kalah kerana kami tidak beraksi seperti biasa, bukan kerana cara permainan mereka.

“Keputusan 1-3 seperti kekalahan teruk, tetapi hakikatnya ia adalah sama seperti 0-1.

‘‘Jika anda lihat dua perlawanan terakhir kami di tempat sendiri, berapa banyak gol yang kami jaringkan?

‘‘Menentang Stuttgart kami menjaringkan empat gol dan menentang Arsenal sekali lagi empat gol.

‘‘Kami adalah pasukan yang menjaringkan banyak gol yang mana anda perlu lakukan jika mahu layak ke perlawanan akhir,’’ kata Ibrahimovic.

Pertembungan esok dihangatkan lagi apabila Ibrahimovic berdepan dengan pasukan yang ditinggalkannya pada musim panas lalu, manakala Samuel Eto’o berpindah ke Inter.

“Pasukan ini (Inter) sangat sukar ketika saya mewakilinya, di mana ada empat atau lima pemain yang membuatkan pasukan ini lebih lengkap,’’ katanya.

Barça kekal di tangga teratas Liga Sepanyol selepas mengalahkan Xerez 3-1, tetapi mempamer permainan kurang bertenaga, ketika tumpuan mereka lebih terarah kepada pertembungan dengan Inter.

Guardiola kehilangan Andres Iniesta yag cedera dan Carles Puyol pula digantung.

Inter kembali ke tangga teratas Serie A pada hujung minggu lalu selepas menang ke atas Atalanta dan kebimbangan utama mereka adalah pemain tengah Wesley Sneijder, pemain tonggak pada perlawanan pertama.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini