Sunday, 19/11/2017

Inter Milan sebelah kaki ke final

Published on April 28, 2010 by   ·   No Comments

JOSE Mourinho dan pemainnya berjaya menyekat penyandang juara di San Siro tetapi perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara di Nou Camp hari ini, dianggap pertemuan berbeza.

Inter sudah sebelah kaki untuk ke perlawanan akhir bulan depan, setelah menang 3-1 pada perlawanan separuh akhir pertama.

Bagaimanapun, penjaring terbanyak kejohanan, Lionel Messi, bekas penyerang Inter Milan, Zlatan Ibrahimovic dan tonggak perancang, Xavi dibantu dengan 100,000 penyokong Barca, mampu untuk mengubah keputusan tersebut.

“Kami harus bercita-cita tinggi dan menjaringkan gol sebanyak mungkin, walaupun kami menjaringkan dua gol, mereka mampu mencuri satu gol dan kami akan tersingkir,” kata pertahanan Barca, Gerard Pique.

Barca berharap dapat meneruskan kemaraan, selepas menerima khabar gembira apabila perancang berpengaruh Milan, Wesley Sneijder, pemain terbaik mereka musim ini, tidak dapat beraksi kerana kecederaan paha Sabtu lalu ketika mengalahkan Atalanta 3-1 dalam Serie A.

Pasukan bimbingan Pep Guardiola menjaringkan empat gol dalam dua perlawanan Liga Juara-Juara, ketika menentang Vfb Stuttgart dan Arsenal di gelanggang sendiri.

Messi menjaringkan dua gol ketika bertemu kelab Jerman itu, dan menggegar dengan empat gol ketika menentang Arsenal.

Jika berjaya mengulangi kejayaan ketika menang ke atas Inter seperti pada peringkat kumpulan November lalu, Barca mampu mara ke final.

Pada dua perlawanan sebelum ini, Barca tewas 1-3 pada perlawanan pusingan pertama kalah mati di gelanggang lawan, bertemu Dynamo Kiev pada 1993/94 dan Chelsea pada 1999/2000.

Namun, mereka mampu bangkit selepas mencatat kemenangan 4-1 dan 5-1 pada perlawanan kedua.

Pique berkata, sokongan penyokong setia Barca bakal menjadi faktor penting kebangkitan skuad itu.

“Saya berharap dapat melihat Nou Camp tidak seperti yang saya lihat sebelum ini, dan saya mahu pemain Inter berasa tidak selesa sepanjang 90 minit.

“Saya tidak ingat bila penyokong berasa sungguh teruja dan yakin bahawa kami mampu melakukannya. Ini adalah perlawanan yang paling penting dalam sejarah Barca,” kata bekas pemain Manchester United itu.

Bagaimanapun, Mourinho seakan-akan tidak menghadapi masalah untuk menewaskan bekas kelabnya dan selepas menyingkirkan Chelsea Februari lalu, kini dia mempunyai peluang untuk menewaskan bekas kelab ketika dia menjadi pembantu jurulatih kepada Bobby Robson dan Louis van Gaal.

Mourinho sekali lagi perlu memastikan pemainnya tidak berasa penat, jika menang Inter akan mengulangi pencapaian 1964 dan 1965, selepas kali terakhir mara ke final pada 1972.

Aksi mereka pada perlawanan pertama berjaya menyekat Xavi, Messi dan rakan-rakan yang lain bermain seperti biasa, termasuk hantaran mengelirukan dan mengawal bola, seterusnya membuatkan lawan menjadi lemah.

Penyerang Inter, Mario Balotello digugurkan dari skuad ketika berdepan Atalanta, selepas bergaduh dengan penyokong dan melempar jersi selepas perlawanan pertama.

Ketika Sneijder dibelenggu kecederaan dan Goran Pandev bergelut dengan masalah kecergasan, pemain berusia 19 tahun itu berpeluang untuk beraksi, tatkala Inter dilihat bakal membariskan tiga penyerang.

Pertahanan kiri, Cristian Chivu, yang menjaringkan gol pertama dalam tempoh tiga tahun ketika menentang Atalanta, mungkin akan menjadi pertahanan tengah jika ketua pasukan, Javier Zanetti beraksi di bahagian tengah menggantikan Sneijder.

“Ia adalah detik bersejarah buat kami. Kami harus memberikan segalanya,” kata Chivu yang masih lagi memakai pelindung kepala, selepas mengalami keretakan tempurung kepala awal musim ini.

Pemain pertahanan tengah Barca dan ketua pasukan, Carles Puyol dan pemain tengah Inter, Dejan Stankovic kedua-duanya digantung perlawanan.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini