Friday, 22/09/2017

Rusuhan London: Perlawanan pembukaan Tottenham-Everton ditunda

Published on August 12, 2011 by   ·   No Comments

PERLAWANAN pembukaan Liga Perdana Inggeris membabitkan perlawanan Tottenham dan Everton di White Hart Lane ditunda berikutan rusuhan di London, umum ketua eksekutif, Richard Scudamore semalam.

Scudamore berkata, keputusan itu dibuat atas nasihat polis, namun sembilan lagi jadual perlawanan pada hujung minggu ini tetap diteruskan.

“Perkembangan terkini ialah pertembungan Tottenham dan Everton dibatalkan. Polis telah menjalankan tugas dengan baik, namun jenayah masih berlaku sepanjang minggu dan majlis perbandaran tidak mendapat masa yang cukup untuk membereskan perkara yang mereka perlu lakukan.

“Sembilan lagi jadual perlawanan tampak positif selagi tiada masalah lanjut berlaku. Malangnya, tidak untuk perlawanan Tottenham namun kita menyahut seruan dan menyokong tindakan polis.

“Semua pihak mahu perlawanan diteruskan, begitu juga kami,” katanya.

Pertahanan Spurs, Michael Dawson meluahkan rasa kecewa terhadap penundaan perlawanan itu, namun akur dan menyokong keputusan tersebut.

“Perkara paling mustahak pastinya keselamatan peminat-peminat,” kata Dawson.

Tottenham ialah antara kawasan paling teruk terjejas dengan insiden keganasan yang melanda sekitar ibu kota London sejak beberapa hari lalu, sebelum keadaan ditenangkan dengan kehadiran polis.

Rusuhan turut menyebabkan aksi persahabatan antarabangsa England dan Holland dibatalkan, di samping beberapa lagi jadual perlawanan Piala Liga di London.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini