Sunday, 21/01/2018

Lionel Messi tenggelam di San Siro

Published on April 23, 2010 by   ·   No Comments

NAMA bintang Argentina, Lionel Messi ‘tenggelam’ di San Siro, kelmarin – sekali gus memalit saat duka buat Barcelona yang menanggung kekalahan terbesar, musim ini gara-gara tewas 1-3 kepada Inter Milan pimpinan Jose Mourinho dalam saingan separuh akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah, kelmarin.

Apapun, Mourinho tetap berang di sebalik kemenangan bermakna itu selepas melihat gelagat pemain tengah Sepanyol, Xavi mengadu kepada pengadil selepas tamat permainan dan kemudian bertengkar dengannya di terowong menuju ke bilik persalinan.

Reaksi Diego Milito selepas menjaring gol ketiga Inter Milan ketika menentang Barcelona pada saingan separuh akhir pertama Liga Juara Eropah di San Siro awal pagi Rabu, 21 April 2010.

Tambahan, pengendali dari Portugal itu turut naik berang dengan dedikasi yang kurang ditunjukkan anak buahnya yang sering mencetus kontroversi iaitu Mario Balotelli.

“Amat sukar bagi mereka (Barcelona) yang tidak pernah kalah itu menerima hakikat keputusan seperti ini,” katanya.

Apa yang pasti kekalahan juara bertahan itu – angka terbesar di bawah bimbingan Pep Guardiola – sekadar memberi sinar baru kepada Mourinho untuk kembali ‘menakluk pentas Eropah’ buat kali kedua dalam kerjayanya selepas mengemudi FC Porto muncul juara pada 2004.

Hanya dua jurulatih memenangi Piala Eropah dengan dua kelab berbeza iaitu Ernst Happel bersama Feyenoord pada 1970 dan Hamburg (1983) serta Ottmar Hitzfeld dengan Borussia Dortmund (1997) dan Bayern Munich (2001).

Mengerti kelibat Messi, Mourinho menggunakan tiga penyerang – Goran Pandev, Diego Milito dan Samuel Eto’o – untuk memberi tekanan dari mula sehingga akhir.

“Mereka (Inter) tampak lebih yakin dan lebih banyak menyerang. Kami tidak bermain seperti biasa kecuali pada 20 atau 25 minit yang terakhir sahaja,’ kata penyerang Barcelona, Zlatan Ibrahimovic.

Inter menang menerusi jaringan Wesley Sneijder, Maicon dan Diego Milito manakala Pedro Rodriguez meletakkan pelawat di hadapan minit ke-19.

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini