Sunday, 21/01/2018

MU mahu segera pintas Chelsea

Published on April 24, 2010 by   ·   No Comments

MANCHESTER United mahu meningkatkan tekanan terhadap Chelsea sambil kembali merampas puncak Liga Perdana Inggeris dengan memastikan kemenangan ke atas Tottenham – pasukan yang dilihat semakin cemerlang – malam ini.

Anak buah Alex Ferguson tercicir satu mata daripada Chelsea tetapi juara bertahan itu mampu merampas takhta liga dengan kemenangan di Old Trafford dalam perlawanan awal hari ini dan tekanan pasti dialami Blues apabila mereka juga perlu memastikan tidak melakukan kesilapan ketika melayan Stoke esok.

Ia menjadi persaingan yang benar-benar hangat dan pemain tengah United, Michael Carrick yang sebelum ini bermain untuk Tottenham, mengakui kejayaan kelab lamanya menumpaskan Chelsea minggu lalu, memberikan sinar kepada harapan Red Devils untuk mengekalkan kejuaraan liga. “Emosi anda berubah-ubah daripada minggu ke minggu bergantung kepada siapa yang akan bermain,” kata Carrick.

“Agak kelakar juga apabila melihat keadaan perlawanan ketika ini. Pada awal musim anda tidak pernah menyangka keadaan seperti ini berlaku.”

“Anda menyokong satu pasukan pada minggu ini dan bermain menentang mereka pada minggu berikutnya. Ini lumrah permainan. Tottenham sudah berada di tangga keempat liga dalam hampir sepanjang musim. Skuad yang mereka himpunkan sejak beberapa tahun lalu, begitu mantap.

“Kini kami berurusan dengan mereka pada penghujung musim dan anda perlu menghormati mereka dan mereka juga perlu mempamerkan aksi cemerlang.”
Spurs tidak pernah menang di Old Trafford sejak 1989 dan pasukan Ferguson kekal tidak pernah tewas kepada mereka dalam 21 perlawanan sebelum ini.

Bagaimanapun, prestasi mereka begitu memuncak dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan sudah pun menumbangkan Arsenal dan Chelsea dalam dua perlawanan berturut-turut menjadikan mereka pasukan pilihan untuk layak dalam aksi Liga Juara-Juara.

Pasukan tangga keempat pimpinan Harru Redknapp itu memainkan peranan besar dalam mempengaruhi usaha memburu gelaran menerusi dua kemenangan bergaya itu tetapi mereka lebih berminat untuk memastikan kelebihan ke atas Manchester City yang kini tercicir dua mata di tangga kelima.

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini