Friday, 28/07/2017

Selangor, N.Sembilan mula langkah kanan

Published on September 15, 2010 by   ·   No Comments

HASRAT pengendali Selangor, K Devan untuk meraih tiga mata pada perlawanan pertama Piala Malaysia 2010 terlaksana selepas menewaskan T-Team 3-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Selangor yang diletakkan dalam Kumpulan D bersama T-Team memulakan kempen dengan langkah kanan hasil jaringan D Surendren pada minit ke-50, sebelum pemain gantian Rudie Ramli menambah gol pada minit ke-80 diikuti gol R Surendren di minit ke-90.

Gol Surendren berpunca daripada rembatan jarak dekat, manakala Rudie yang menggantikan Safee Sali pada minit ke-78 berjaya mencatat nama sebagai penjaring selepas menerima hantaran cantik Amirul Hadi Zainal.

T-Team yang terpaksa bermain dengan 10 orang pemain selepas Nur Alif Zainal Abidin dilayangkan kad merah kerana mengasari Amirul Hadi pada minit ke-25, memperoleh gol saguhati di masa kecederaan melalui Rosli Muda.

Sementara itu, pertembungan Kumpulan A, Negeri Sembilan juga berjaya meraih tiga mata apabila menewaskan Kelantan 1-0 di Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, gol berpunca daripada sepakan penalti yang disempurnakan Abd Halim Zainal pada minit ke-74.

Pemain pertahanan Kelantan, S Subramaniam menjatuhkan Idris Karim pada minit ke-73 dan pengadil tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada pasukan lawan.

Di Stadium Perak, pasukan tuan rumah gagal mencatat kemenangan selepas sekadar mencatat keputusan seri 2-2 menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM), di mana gol Perak disempurnakan oleh Shahrizal Mohd Saad minit ke-16 dan Safhuan Hadli menerusi sepakan penalti pada minit ke-28.

Sementara ATM memperoleh jaringan melalui Saiful Mustafa pada minit ke-49 dan sepakan penalti V Saravanan pada minit ke-66.

Terengganu pula bermula dengan langkah kiri selepas tewas 1-3 kepada Pahang di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. gol tunggal tuan rumah disumbangkan Abdul Rayjal Abdul Jalil pada minit ke-75, manakala Pahang berbangga dengan jaringan Marzuki Yusof (gol sendiri) pada minit ke-12, Mohd Fazli Baharuddin (67) dan Mohd Faizol Hussain (82).

Di Stadium Utama, Perlis berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas Felda United di mana pasukan Singa Utara memperoleh jaringan melalui Ahmad Fakri Saarani (minit ke-52 dan 90), manakala satu lagi gol disumbangkan oleh Azrul Ahmad minit ke-85.

Felda yang hampir mengikat Perlis memperoleh gol melalui Fatrurazi Rozi minit ke-49 dan G. Puvaneswaran minit ke-86, kedua-dua pasukan ditempatkan di dalam Kumpulan A.

Turut mencatat kemenangan ialah PKNS yang menang tipis 1-0 ke atas KL Plus di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, hasil jaringan tunggal Mohd. Fadil Hashim melalui sepakan percuma, manakala Kuala Lumpur dan Sabah yang beraksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur terikat 0-0.

Di Stadium JCorp, Kedah berjaya mengikat Johor FC 1-1 dan mendahului seawal minit kedua melalui Baddrol Bakhtiar sebelum Wan Rohaimi Wan Ismail menyamakan kedudukan di minit ke-88.

Tags: , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini