Sunday, 21/01/2018

Selangor kembali fokus Liga Super

Published on April 23, 2010 by   ·   No Comments

PINTU kini sudah tertutup buat Selangor dalam kempen Piala AFC selepas kekalahan besar 4-0 menentang Becamex Binh Duong di Vietnam kelmarin, dan Gergasi Merah kini beralih tumpuan untuk memburu gelaran di peringkat domestik.

Hatrik pemain Brazil, Kesley Alves dalam perlawanan Kumpulan F di Stadium Binh Duong menjulang kelab Vietnam itu bersama-sama Sriwijaya FC dari Indonesia ke pusingan kalah mati dengan ketiadaan tenaga import jelas merencatkan langkah Selangor untuk beraksi di peringkat Asia.

“Seperti yang saya katakan sebelum perlawanan, pemain import terutama Kesley Alves, memberikan banyak masalah kepada kami. Hakikatnya Alves membenam kami dengan persembahan hebat,” akui pengendali Selangor, K Devan.

“Saya tahu mengamalkan permainan terbuka menentang Binh Duong adalah strategi yang boleh memakan diri tetapi kami tidak mempunyai pilihan. Sebelum perlawanan kami berada tiga mata di belakang mereka dan perlu menang untuk menghidupkan peluang,” katanya.

Kembali ke tanah air semalam, Selangor perlu melupakan kekecewaan itu dengan mengalihkan tumpuan kepada misi mengekalkan gelaran Liga Super.

“Kami akan menghadapi T-Team di Shah Alam Sabtu ini (esok). Kami hanya berada tiga mata di depan pencabar terdekat, Terengganu dan tidak boleh memberikan ruang kepada mereka untuk merapatkan jurang,” katanya.

Terengganu yang merampas kembali tempat kedua selepas kemenangan besar 6-3 ke atas Johor di tempat lawan, Selasa lalu, akan melayan kunjungan Perlis manakala Kelantan yang berada satu mata di belakang akan bertandang ke Stadium MBPJ untuk berdepan KL Plus.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini