Friday, 28/07/2017

Kelantan bangkit, Selangor terus gah

Published on September 18, 2010 by   ·   No Comments

SELANGOR mempamer isyarat jelas untuk menjulang Piala Malaysia musim ini dengan mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menjadikan FELDA United sebagai mangsa menerusi kemenangan besar 4-1 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras, malam tadi

Pertembungan Kumpulan D yang membabitkan dua juara liga domestik – Liga Super dan Perdana itu – nyata menarik dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan yang menyaksikan tiga gol terhasil dalam separuh masa pertama perlawanan.

Gergasi Merah yang memiliki rekod terbanyak kejuaraan Piala Malaysia dengan 32 gelaran berada di depan seawal minit pertama perlawanan hasil jaringan D Surendran menerusi sepakan percuma yang melepasi jangkauan penjaga gol FELDA, Zainal Rabin.

Pasukan bimbingan K Devan itu menambah gol kedua pada minit ke-30 hasil jaringan Safiq Rahim menerusi sepakan leret padu selepas hantaran cantik Amirulhadi Zainal.

Ketinggalan dua gol menyaksikan anak buah E Ealavarasan menguatkan jentera serangan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Nizam Abu Bakar yang tidak melepaskan peluang keadaan kucar kacir di pintu gawang Selangor pada minit ke-40.

Memasuki babak masa kedua, tuan rumah yang ketinggalan berusaha keras melancarkan asakan namun gagal, sebaliknya Selangor menambah jaringan menerusi Safee Sali (m-58) sebelum Amirulhadi mencetak nama dalam senarai penjaring pada minit ke-72.

Dalam satu lagi perlawanan dalam Kumpulan D di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, Haris Safwan Kamal muncul wira buat tuan rumah, T-Team dengan jaringan hatrik ketika membelasah Perlis 4-0.

Haris Safwan mendapat dua gol pada babak pertama pada minit ke-23 dan 45 selepas bergandingan baik dengan Harizul Izuan Abd Rani dan gol terakhir pada minit ke-86, selepas Rosli Muda menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-67.

Dalam saingan Kumpulan A pula, jaringan penyamaan ketua pasukan, Rezal Zambery Yahya menyelamatkan juara bertahan, Negeri Sembilan daripada tersungkur di laman sendiri malam tadi.

Bekas pemain negara itu menyamakan jaringan Irwan Fadly Idrus sekali gus mengikat keputusan 1-1 dan mengecewakan KL PLUS yang mendahului pada minit ke-36 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Naib juara 2009, Kelantan pula kembali mencerahkan peluang ke suku akhir dengan melonjak ke tangga kedua kumpulan yang sama, setelah menghampakan PKNS 1-0 hasil jaringan tunggal Akmal Rizal Ahmad Rakhli di Stadium Petaling Jaya.

Di STADIUM DARULAMAN, ALOR SETAR dua gol Baddrol Bakhtiar memimpin bekas juara dua musim berturut-turut, Kedah memungut kemenangan sulung mereka di Stadium Darulaman, Alor Setar apabila menewaskan Perak 2-0.

Di KOTA KINABALU, dua jaringan Abdul Manaf Mamat memusnahkan usaha Sabah menghadiahkan kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan B apabila mengikat tuan rumah 2-2 di Stadium Likas.

Keputusan itu sekali gus mengulang episod kehampaan Sabah yang sebelum ini turut seri 0-0 dengan Kuala Lumpur pada aksi pembukaan kumpulan Selasa lalu manakala Terengganu pula meraih satu mata sulung.

Perlawanan Pahang dengan Kuala Lumpur dalam kumpulan yang sama pula terpaksa ditangguhkan berikutan lampu limpah di Stadium Darul Makmur, Kuantan yang tidak dapat berfungsi.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini