Sunday, 21/01/2018

Sentuhan Ashaari lonjak Terengganu

Published on April 23, 2010 by   ·   No Comments

JURULATIH Terengganu, Irfan Bakti memuji persembahan bertenaga yang dipamerkan Ashaari Samsudin selepas pemain kebangsaan itu meledak empat gol untuk membantu kemenangan besar 6-2 skuad Penyu ke atas Johor tiga hari lalu.

Pada perlawanan Liga Super di Larkin itu, Ashaari meledak empat gol masing-masing pada minit ke-4, 28, 55 dan 68 sementara dua lagi gol disumbangkan oleh Hariri Safi dan Wan Aliff Wan Jasmi.

Kemenangan di tempat lawan itu kembali melonjakkan Terengganu ke tangga kedua liga dengan 23 mata dan hanya dipisahkan tiga mata dengan pendahulu, Selangor.

“Ashaari adalah seorang penjaring, tetapi dia gagal melakukannya dalam beberapa perlawanan terdahulu.

“Kali ini, sentuhan pemain itu telah menjadi dan dia telah tunjukkan belangnya. Apa yang penting, kebangkitan yang dipamerkan Ashaari ini tiba tepat pada masanya,” jelas Irfan mengulas mengenai empat gol yang dijaringkan Ashaari.

Bagi Ashaari sendiri, kejayaan meledak empat gol kelmarin meletakkannya kini sebagai penjaring terbanyak dalam Liga Super dengan sepuluh gol.

Dia kini diekori rapat oleh dua penyerang Selangor, R. Surendran dan Safee Sali dan bintang Kedah, Azlan Ismail yang masing-masing telah meledak tujuh gol.

“Selepas kalah kepada Johor FC Sabtu lalu, saya rasa kemenangan ini sebagai sesuatu yang penting buat kami.

“Saya percaya pemain juga telah mula sedar akan kemampuan mereka dan inilah yang saya harapkan daripada semua pemain.

“Saya tidak mahu mereka menganggap sesuatu itu sebagai sukar kerana ia hanya memberi risiko kepada kami,” tambahnya.

Mengulas mengenai peluang Terengganu untuk memintas Selangor musim ini, Irfan menganggap ia bukanlah sesuatu yang mustahil untuk dilakukan.

“Apa pun, persaingan masih panjang dan kami hanya perlu fokus kepada setiap perlawanan yang bakal kami lalui selepas ini,” jelasnya.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini