Sunday, 21/01/2018

Jenson Button juara GP China

Published on April 23, 2010 by   ·   No Comments

19 April – JUARA dunia, Jenson Button dengan tenang memacu jenteranya di tengah-tengah kekalutan litar basah Grand Prix China untuk menerajui kemenangan satu dua buat McLaren, semalam dengan rakan sepasukan Lewis Hamilton memenangi tempat kedua.

Pemandu berusia 30 tahun dari Britain itu, kini mendahului senarai kedudukan pemandu selepas mencatat kemenangan kedua musim ini dan kesembilan sepanjang kerjayanya dalam perlumbaan Formula Satu (F1).

“Ini adalah kemenangan terbaik saya,” kata Button yang memulakan perlumbaan dari petak kelima. “Perlumbaan ini cukup sukar, tetapi kami mempunyai kelajuan yang baik.

“Ia bukan sekadar tuah meneka cuaca.” Hamilton memburu tangga kedua podium dari kedudukan ke-12 pada pusingan keempat untuk menamatkan perlumbaan 1.5330 saat di belakang rakan senegaranya, sekali gus mencatat kemenangan satu dua pertama pemandu Britain sejak 1999.

Pemandu Jerman, Nico Rosberg, untuk kali kedua berturut-turut berjaya memacu jentera Mercedes GP Petronas untuk tempat ketiga dengan pemandu Sepanyol, Fernando Alonso (Ferrari) yang dikenakan penalti pandu lalu kerana bermula awal, di tempat keempat.

Sementara itu, pasukan F1 kebangsaan, Lotus Racing, menamatkan empat siri perlumbaan awal musim sulung mereka dengan catatan cemerlang apabila terus menerajui kelompok pasukan baru – Virgin Racing dan Hispania.

Prinsipal pasukan, Datuk Seri Tony Fernandes berpuas hati dengan pencapaian pemandunya, Heikki Kovalainen, yang menamatkan perlumbaan di tangga ke-14, walaupun seorang lagi pemandu, Jarno Trulli terus dirundung malang akibat masalah hidraulik jentera.

“Ia satu perlumbaan yang baik buat pasukan,” kata Tony. “Saya berbangga dengan kedua-dua pelumba, dan kami berjanji akan memastikan masalah hidraulik pada jentera Jarno akan diselesaikan sebelum Barcelona.”

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini