Friday, 28/07/2017

Keputusan Malaysia vs China Hoki Sukan Asia 2010

Published on November 21, 2010 by   ·   No Comments

Malaysia vs China: Hoki Sukan Asia 2010SKUAD hoki negara berjaya ‘merobohkan’ tembok besar China selepas menang 4-2 pada aksi terakhir Kumpulan A, sekali gus mara ke separuh akhir acara hoki lelaki Sukan Asia 2010 di Stadium Hoki Aoti, Guangdong sebentar tadi.

Pada aksi terakhir yang dianggap penentu kepada siapa yang bakal menjadi naib juara Kumpulan A itu, skuad kendalian Stephen van Huizen turun dengan misi untuk memburu satu mata bagi menjamin tempat ke separuh akhir.

Dengan mempamerkan semangat juang yang tinggi, skuad negara bukan saja berjaya merealisasikan misi tersebut, malah turut berjaya memenangi tiga mata berharga ke atas tuan rumah yang menerima sokongan padu di hadapan peminat mereka sendiri.

Hasil kejayaan muncul naib juara, Malaysia dijadualkan berdepan juara Kumpulan B, India pada separuh akhir petang Selasa.

“Kita tidak kisah dengan siapa lawan kita tetapi kita tetap menghormati India kerana mereka beraksi di Piala Dunia dan memenangi pingat perak pada Sukan Komanwel baru-baru ini,” kata van Huizen.

“Mereka adalah pasukan yang bagus dan kita akan turun sebagai underdog pada aksi separuh akhir.

“Kini misi untuk layak ke separuh akhir telah berjaya ditunaikan dan kita hanya perlu memberi tumpuan terhadap perlawanan seterusnya,” ujarnya.

Kali terakhir Malaysia layak ke separuh akhir adalah pada temasya 2002 di Busan, Korea Selatan ketika skuad pimpinan Mirnawan Nawawi itu memenangi gangsa.

Kini, skuad hoki negara berjaya menebus kegagalan di Doha empat tahun lalu apabila hanya mampu menduduki tempat keenam.

“Peluang masih ada untuk menang tetapi kita harus perbaiki lagi kelemahan yang ada.

“Di bahagian serangan kita agak baik, cuma bahagian pertahanan yang perlu diperkemaskan lagi.

“Saya akan cuba pastikan semua ini diatasi sebelum menentang India nanti,” katanya.

Pada aksi menentang China, skuad negara mendahului 1-0 hasil jaringan pakar sudut penalti, Muhamad Amin Rahim pada minit ketiga.

Bagaimanapun, China menyamakan kedudukan 1-1 hasil jaringan sudut penalti, Liu Yixian pada minit ke-13.

Begitupun, Malaysia kembali mendahului 2-1 menerusi Faizal Saari pada minit ke-18 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

China bagaimanapun bangkit garang pada babak kedua dengan menyamakan kedudukan 2-2 hasil jaringan Na Yubo pada minit ke- 36.

Namun, Hafifihafiz Hanafi meletakkan Malaysia 3-2 hasil set-piece menarik daripada pukulan sudut penalti yang ditolak kemas Amin Rahim pada minit ke-41.

China akhirnya terpaksa menyerah kalah apabila Azlan Misron meletakkan Malaysia selesa di depan 4-2 hasil serangan balas pada minit ke-66.

“Saya berpuas hati dengan komitmen pemain kita. Ini adalah aksi terbaik selepas berdepan Korea Selatan.

“Memang pada awalnya pemain agak gementar kerana bimbang tersingkir daripada saingan, namun mereka berjaya menunjukkan semangat juang yang tinggi.

“Ia amat membanggakan saya dan sudah pasti seluruh rakyat Malaysia pun berbangga,” kata van Huizen.

Tags: , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini