Friday, 22/09/2017

Thailand kekal kuasa sepak takraw

Published on November 25, 2010 by   ·   No Comments

Thailand sapu bersih pingat emas berpasukan dan antara regu di Sukan Asia 2010

Malaysia kekal nombor dua di belakang Thailand dalam sukan sepak takrawMISI skuad sepak takraw negara merampas pingat emas acara regu lelaki daripada Thailand gagal setelah mereka tewas 12-21, 19-21 pada aksi terakhir di Pusat Sukan Haizhu, Guangzhou petang semalam.

Regu negara yang dibarisi Normanizam Ahmad (tekong), Futra Abd. Ghani (apit kanan) dan Farhan Adam (apit kiri) terperangkap dengan percaturan Thailand sehingga menyebabkan mereka tewas mudah pada set pertama.

“Kami kaji corak servis tekong utama mereka (Kriangkrai Kaewmian) tetapi Thailand turunkan pula tekong simpanan (Wirawut Na Nongkhai) yang pertama kali kami lihat aksinya,” kata Normanizam.

Servis Wirawut menghasilkan sembilan mata pada set pertama dengan Malaysia terpaksa memasukkan Norshahruddin Ghani menggantikan Futra yang kurang menyengat libasannya ketika ketinggalan 10-16.

“Saya pun tidak tahu kenapa permainan tidak menjadi. Mungkin bukan rezeki kami kali ini. Memang kajian kami terhadap tekong mereka silap sama sekali,” jelas Futra.

Pada set kedua, Malaysia sempat mendahului 10-6 pada suatu ketika sebelum Thailand mengikat kedudukan 10-10 dan akhirnya menang 21-19.

Sabtu lalu, Malaysia turut meraih pingat perak setelah tewas 0-2 kepada Thailand pada final acara berpasukan lelaki.

Kegagalan meraih pingat emas pada Sukan Asia 2010 bermakna Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Ahmad Ismail perlu mengotakan janjinya untuk meletak jawatan.

Namun Ahmad yang ditemui selepas perlawanan semalam menyatakan bahawa dia hanya akan meletakkan jawatannya itu setelah segala komitmennya selesai.

“Saya tak kata akan letak jawatan serta merta tetapi saya akan letak jawatan di tanah air sendiri. Tak elok jika saya letak jawatan di tempat orang.

“Biarlah saya selesaikan tanggungjawab saya terlebih dahulu terutama untuk penganjuran Piala Dunia kali pertama di Kuala Lumpur pada Julai tahun depan.

“Selepas itu, saya serahkan kepada Majlis Tertinggi PSM untuk menentukan kedudukan saya,” kata Ahmad semalam.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini