Friday, 22/09/2017

Keputusan Skuasy Final Sukan Asia 2010

Published on November 21, 2010 by   ·   No Comments

Azlan Iskandar, Nicol David sumbang emas keempat dan kelima Malaysia

KEMARAU tiga hari kontinjen Malaysia tanpa pingat emas berakhir petang tadi setelah ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David dan Mohd Azlan Iskandar menepati ramalan untuk muncul juara pada final acara individu wanita dan lelaki di Gimnasium Bandar Sukan Asia, Guangzhou.

Emas keempat kontinjen negara bagi Sukan Asia 2010 itu berjaya diperoleh setelah Nicol menewaskan Annie Au Wing Chi dari Hong Kong 11-8, 8-11, 11-6, 11-7 dalam masa 39 minit.

“Ia sesuatu yang menakjubkan apabila berjaya meraih pingat emas buat Malaysia. Tekanan untuk menang memang ada tetapi menerusi kerja keras dan juga latihan, saya akhirnya berjaya.

“Saya telah menghadapi satu perlawanan yang agak sengit pada hari ini (semalam). Ia bukan satu kemenangan yang mudah,” kata Nicol ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat semalam.

Nicol turut mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pemain skuasy pertama yang berjaya meraih pingat pada keempat-empat temasya selepas skuasy diperkenalkan di Sukan Asia pada 1998.

Sebelum ini, Nicol menang emas pada Sukan Asia 1998, 2006 dan 2010.

Sejam kemudian pingat emas kelima kontinjen Malaysia menyusul menerusi pemain skuasy negara, Mohamad Azlan Iskandar yang mengungguli acara individu lelaki.

Pada aksi final itu, Azlan berjaya menewaskan pemain Pakistan, Aamir Atlas Khan 11-6, 11-7, 11-6 dalam masa 39 minit untuk membolehkan dirinya mencatat satu sejarah tersendiri.

Azlan sebenarnya berjaya melengkapkan koleksi pingatnya di Sukan Asia selepas menang pingat gangsa pada 2002, menang pingat perak pada 2006 dan menang pula pingat emas pada edisi 2010 kali ini.

“Saya sangat gembira kerana setelah hanya memenangi pingat gangsa dan perak pada dua temasya sebelum ini, saya akhirnya berjaya memenangi pingat emas di Sukan Asia Ke-16.

“Selepas Ong Beng Hee tewas dalam separuh akhir semalam, saya tahu yang saya perlu bekerja keras pada final ini bagi memastikan emas milik Malaysia.

“Setelah berjaya melaksanakan tugas ini, saya berasa cukup lega kerana akhirnya dua pingat emas berjaya diperoleh menerusi skuasy pada hari ini,” kata Azlan ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat.

Malaysia sebenarnya turut memenangi pingat emas acara individu lelaki Sukan Asia pada dua temasya sebelum ini menerusi Beng Hee pada 2002 dan 2006.

Ditanya tentang perlawanan menentang Aamir, Azlan berkata: “Saya memiliki rekod baik bertemu dengannya. Jadi ada rasa yakin dalam diri saya tetapi dalam masa sama tetap berhati-hati kerana apa pun boleh terjadi.”

Selepas ini, Azlan dan Beng Hee akan menggalas tugas mencari satu lagi pingat emas acara skuasy dalam acara berpasukan lelaki yang telah pun bermula pagi tadi.

Malaysia memulakan langkah kanan setelah menewaskan Arab Saudi 3-0 biarpun Azlan direhatkan.

Esok (Selasa), Malaysia akan menghadapi dua lagi perlawanan iaitu bertemu Qatar pada sebelah pagi dan Korea Selatan pada sesi petang.

Tags: , , , , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini