Sunday, 21/01/2018

Nadal rangkul gelaran Rome Masters

Published on May 3, 2010 by   ·   No Comments

RAFAEL Nadal menewasan rakan senegara, David Ferrer 7-5 6-2 untuk menjuarai Tenis Rome Master buat kali kelima dalam tempoh enam tahun, sekali gus menyamai rekod Andre Agassi dengan gelaran 17 kejuaraan Masters.

Ia membuktikan semangat Nadal untuk terus menguasai kejohanan tenis gelanggang tanah liat tidak pernah luntur sejak 2005.

Dalam pertandingan akhir, Nadal, 23 tahun, menewaskan rakan senegaranya, David Ferrer, 7-5,6-2.

Dengan kejayaan terbarunya itu, Nadal, yang kini berstatus sebagai pemain tenis ketiga terbaik dunia, menyamakan rekod pencapaian Andre Agassi dari Amerika Syarikat yang menjuarai 17 pertandingan Masters.

Dengan pencapaian itu juga, Nadal mempunyai rekod 191 kemenangan perlawanan di gelanggang tanah liat berbanding 17 kekalahan.

Tetapi sebahagian besar kekalahan itu dialaminya semasa beliau berada pada peringkat awal kerjayanya sebagai pemain profesional.

Sejauh ini, Nadal telah menjuarai pertandingan Masters Monte Carlo sebanyak enam kali berturut-turut, lima Masters Rome dan lima Masters Barcelona.

Kini, apa yang menjadi matlamat Nadal ialah kembali menggondol kejuaraan Terbuka Perancis di Roland Garros buat kali kelima dalam masa enam tahun.

“Adalah tidak benar jika ada menyebut permainan saya sentiasa menjadi. Sebaliknya saya juga pernah mengalami kegagalan sepanjang tempoh lima dan enam tahun yang lalu.

“Tetapi, apa yang selalu menjadi dorongan kepada saya ialah saya sentiasa ingin menjadi juara. Anda mesti mempunyai dorongan jika anda ingin terus meningkatkan tahap persembahan anda.

“Ini yang berlaku sepanjang kerjaya saya. Setiap kali saya melangkah ke medan pertempuran, saya akan melakukan yang terbaik dan saya akan melakukannya sepanjang masa.’

Penguasaan Nadal di gelanggang tanah liat seperti berada pada kemuncaknya di Monte Carlo dua minggu lalu dengan pemain kidal itu hanya tercicir 14 permainan sebelum muncul sebagai juara.

Tetapi Nadal secara merendah diri menarik perhatian bahawa beliau tidak mungkin dapat mengulangi persembahan sehebat itu dalam setiap pertandingannya.

“Benar, saya sedang beraksi dengan baik dan menjuarai pertandingan Monte Carlo dengan tercicir 14 permainan, tetapi hal itu tidak akan berlaku setiap minggu.

“Dalam pertandingan tersebut, saya hanya tewas dalam satu set. Selain itu saya juga menghadapi perlawanan yang sengit dalam peringkat separuh akhir.

“Saya ingin memenangi pertandingan di sini, tetapi adalah tidak mudah untuk mengecap kejayaan seperti dalam pertandingan Monte Carlo.

“Saya fikir saya lebih gembira memenangi pertandingan di sini kerana saya tidak beraksi dengan baik,’ ujar Nadal selanjutnya.

Fernando Verdasco, pemain yang tumbang di tangan Nadal dalam final Monte Carlo, berpendapat bahawa adalah sukar untuk melenturkan Nadal.

“Saya fikir buat masa ini Nadal adalah pemain yang paling unggul. Saya berpendapat Nadal adalah pemain terbaik di gelanggang tanah liat.

“Setiap pemain mempunyai pandangan yang berbeza tetapi saya tetap berpendapat bahawa Nadal adalah pemain terunggul di gelanggang tanah liat dalam sejarah. Rekod pencapaiannya sungguh mengagumkan,” kata Verdasco.

Tags: , , ,

Readers Comments (0)




Berita Terkini